Kerajaan kekal laksana subsidi bersasar RON95 tahun ini

2025-09-05    HaiPress

Amir Hamzah Azizan/RTM

PUTRAJAYA,4 September- Kerajaan kekal dengan perancangan melaksanakan subsidi petrol RON95 secara bersasar menjelang akhir tahun ini,jelasMenteri Kewangan II,Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu akan menggunakan MyKad sebagai pengenalan utama bagi memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang layak.

Amir Hamzah berkata,sistem pelaksanaan akan diumumkan apabila ia siap sepenuhnya.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini,penyasaran subsidi RON95 akan dilaksanakan sebelum akhir tahun menggunakan MyKad dan sistem yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Laporan Pasaran Hartanah Separuh Tahun Pertama 2025 di sini,hari ini.

Kerajaan memutuskan penggunaan MyKad berikutan keberkesanannya dalam mengagihkan bantuan tunai bawah skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Kementerian Kewangan kini sedang membangunkan sistem bagi membolehkan MyKad digunakan sepenuhnya dalam pengurusan rasionalisasi subsidi.

Dalam perkembangan lain,Amir Hamzah berkata,mekanisme sokongan bagi pemilikan rumah mampu milik akan menjadi antara fokus utama Belanjawan 2026 yang dijangka dibentangkan Oktober ini.

Beliau berkata,langkah itu bertujuan membantu rakyat memiliki rumah serta menangani isu lambakan unit kediaman tidak terjual.

"Kita sedang melihat model baharu untuk membantu rakyat Malaysia memiliki dan mampu membeli rumah,antaranya melalui konsep sewa untuk milik (rent-to-own) yang akan terus diperkasakan. Kita juga mahu mengurangkan projek terbengkalai dengan menggalakkan sistem ‘bina kemudian jual’ (build-then-sell),berbanding kaedah bayaran progresif yang akhirnya meninggalkan pembeli menanggung risiko apabila projek tidak siap," katanya.

Beliau berkata,pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan siling dan lantai pendapatan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kemampuan rakyat memiliki rumah.

"Kerajaan telah melaksanakan pelbagai reformasi pasaran buruh seperti menaikkan gaji minimum,meningkatkan tahap gaji,menggalakkan gaji progresif dan menggalakkan syarikat melaksanakan gaji sara hidup (living wage). Saya percaya ini antara pemacu penting untuk mengimbangi kekayaan dalam negara," jelasnya.

Amir Hamzah turut memberi jaminan bahawa peluasan cukai perkhidmatan (SST) tidak akan menjejaskan harga rumah kediaman kerana pengenaan cukai lebih tertumpu kepada sektor komersial,manakala pembangunan kediaman,pembinaan dan bekalan bahan binaan dikecualikan.

Dalam pada itu,beliau turut memaklumkan bahawa pasaran hartanah Malaysia kekal berdaya tahan dengan lebih 196,000 transaksi bernilai RM107.68 bilion dicatatkan pada separuh pertama 2025.

Katanya,angka itu menunjukkan penurunan 1.3 peratus dari segi bilangan,tetapi peningkatan 1.9 peratus dari segi nilai berbanding tempoh sama tahun lalu

"Keyakinan terhadap pasaran hartanah masih tinggi,dengan aktiviti pembinaan terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Bilangan unit kediaman siap dibina dan mula dibina masing-masing meningkat 34.4 peratus dan 4.8 peratus berbanding tempoh sama 2024," katanya.

Tambah beliau,hartanah kediaman siap dibina tetapi belum terjual (overhang) meningkat kepada 26,911 unit bernilai RM16.44 bilion,berbanding 23,149 unit bernilai RM13.94 bilion pada separuh kedua 2024.

Dari segi harga,Indeks Harga Rumah Malaysia mencatat pertumbuhan tahunan 0.7 peratus,dengan harga purata rumah kini RM490,376 seunit. Penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus dijangka meningkatkan keupayaan kewangan pembeli dan merangsang permintaan pasaran.

Selain itu,pelan pembangunan 2026-2030 dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) menyasarkan pembinaan sejuta rumah mampu milik bagi tempoh 2026 hingga 2035.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap