
Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil hari ini dikurnia gelaran Datuk sempena sempena Hari Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor,Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj/BERNAMA
KLANG,11 Disember- Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil hari ini menerima Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Ke-80 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor,Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj.
Beliau merupakan salah seorang daripada 98 penerima yang menerima darjah dan bintang kebesaran dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah,Klang,Selangor.
Exco Kemajuan Desa,Perpaduan dan Pengguna Selangor,Datuk Rizam Ismail dikurniakan darjah kebesaran sama yang membawa gelaran Datuk daripada keseluruhan 16 penerima Darjah Kebesaran D.P.M.S.
Sementara itu,Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang membawa gelaran Datuk Seri pula mendahului senarai pertama penerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.).
Dalam istiadat itu,Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Selangor kepada anakanda baginda,Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Zerafina.
Darjah Dato' Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran Datuk Setia dikurnia kepada Timbalan Pengerusi MAIS,Tan Sri Mazlan Mansor.
Darjah Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) diberikan kepada 17 penerima termasuk Pengarah Bomba Selangor,Wan Md Razali,Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),Mohamad Zahri Samigon,Imam Masjid Istana Diraja,Mohd Rasid dan pelukis,Yusof Ghani.
Setia Mahkota Selangor (S.M.S.) dan Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S.) dikurnia kepada pegawai kerajaan dan pihak berkuasa,manakala Ahli Mahkota Selangor (A.M.S.) dan Ahli Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S.) kepada 30 penerima termasuk pegawai bomba dan pengurusan korporat.
Atlet,Ahmad Faiz Ariffin menerima Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (A.K.S.) dan Soh Wai Ching dianugerahi Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (B.K.S.),manakala tujuh individu menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C.).
Terdahulu,Tengku Permaisuri Selangor,Tengku Permaisuri Norashikin,Raja Muda Selangor,Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato Abdul Aziz berkenan berangkat ke istiadat itu,diiringi Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari dan isteri.