
Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari
SHAH ALAM,21 November –Selangor memperluas usaha menangani kes buli di sekolah dengan memberi tumpuan khusus kepada insiden berkaitan kecelaruan seksual dalam kalangan pelajar,terutama di sekolah satu gender dan berasrama.
Langkah itu digerakkan susulan peningkatan bentuk buli yang semakin kompleks dan dipengaruhi persekitaran digital tanpa kawalan.
Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Amirudin Shari berkata pendekatan pencegahan merangkumi latihan minda sihat untuk guru kaunseling,rondaan keselamatan bersama polis serta pendidikan etika digital dan keselamatan dalam talian kepada pelajar,guru dan ibu bapa.
“Ia bukan hanya melibatkan pembulian mental dan fizikal atau jenayah,tetapi turut membabitkan aktiviti berkaitan kecelaruan seksual dalam kalangan pelajar.
"Ia tidak semata-mata berpunca daripada kecenderungan tertentu atau pengaruh rakan sebaya,tetapi juga kandungan peranti digital dan media sosial yang kadangkala tiada kawalan serta jauh daripada nilai masyarakat. Isu ini akan diambil perhatian,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal,Mohd Shafie Ngah mengenai usaha negeri menangani bentuk buli yang semakin kompleks.
Beliau turut memaklumkan bahawa Selangor bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menempatkan pegawai perhubungan di semua sekolah menengah dan rendah.
Penglibatan termasuk melaksanakan pemeriksaan mengejut dan rondaan keselamatan berkala.