
FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR,29 Oktober – Malaysia bersedia menghantar satu batalion tentera ke Gaza bagi menyertai pasukan pengaman antarabangsa sekiranya mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Menteri Pertahanan,Adly Zahari,berkata kesediaan itu telah dinyatakan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,kepada Setiausaha Agung PBB,Antonio Guterres,semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Jelas beliau,komitmen kerajaan terhadap usaha memastikan keamanan global itu juga turut disampaikan kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
"Di pihak pertahanan memang kita bersedia untuk sediakan satu batalion bagi pasukan pengaman di Gaza jadi terpulang kepada pihak PBB dan Malaysia memang mempromosikan dan memang ke arah itu.
"Ini kerana kita tahu bukan hanya di Gaza tetapi komitmen Kementerian Pertahanan dan juga Kerajaan Malaysia MADANI kepada misi keamanan di peringkat antarabangsa adalah satu komitmen jelas untuk memastikan keamanan di peringkat antarabangsa," katanya.
Penyataan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah,Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Selain itu,berkenaan aset milik Angkatan Tentera Malaysia,katanya kementerian sedang meneliti aset yang diklasifikasikan sebagai strategik untuk dibawa pulang ke tanah air selepas tamatnya misi pasukan Batalion Malaysia di Lubnan.