Foto Fail
KUALA LUMPUR,4 September- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus,selaras dengan unjuran pasaran.
BNM menerusi satu kenyataan berkata petunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global terus berkembang didorong oleh perbelanjaan pengguna yang berterusan dan aktiviti yang dilakukan lebih awal.
Penyelesaian sebahagian daripada rundingan perdagangan turut membantu meredakan ketidakpastian global.
"Pada tahap OPR semasa,MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri," katanya dalam kenyataan.
Tambah BNM,prospek pertumbuhan global dijangka terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif,dasar monetari yang kurang ketat dan rangsangan fiskal.
Bagaimanapun,risiko kelembapan masih wujud susulan ketegangan geopolitik serta pelaksanaan tarif baharu yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan,terutama tarif khusus bagi produk.
Jelas BNM,ketidakpastian yang berpanjangan ini boleh mengakibatkan volatiliti yang lebih ketara dalam pasaran kewangan global dan harga komoditi.
Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat berikutan hasil yang menggalakkan daripada rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang masih berlangsung serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
BNM berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada purata 1.4 dan 1.9 peratus bagi tujuh bulan pertama tahun ini.
Inflasi dijangka kekal sederhana pada 2025 dan 2026 berikutan harga komoditi global yang menurun serta kos dalam negeri yang terkawal.