SME Venture@ASEAN tingkat pemahaman PKS dalam pematuhan standard ASEAN

2025-09-01    HaiPress

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Datuk Nainy

KUALA LUMPUR,1 September -Penganjuran program SME Venture@ASEAN yang bakal berlangsung Oktober depan berupaya meningkatkan pemahaman peniaga tempatan mengenai peraturan serta undang-undang negara pengimport di rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Datuk Nainy berkata,perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) berpeluang mendapatkan nasihat pakar menerusi sesi perkongsian pengalaman sepanjang acara tiga hari itu.

Ini sekali gus membantu produk tempatan menembusi pasaran ASEAN dan meningkatkan daya saing peniaga di peringkat serantau.

"Sebagai contoh,jika sesuatu produk memerlukan pensijilan tertentu,PMKS perlu memperkukuh aspek berkenaan. Begitu juga dengan pembungkusan dan pelabelan yang wajib mematuhi peraturan negara pengimport. Malah,aspek kos penghantaran,insurans serta pengisytiharan kastam juga perlu difahami sepenuhnya oleh usahawan," katanya kepada pemberita RTM,di sini.

Pameran SME Venture@ASEAN 2025,anjuran SME Corp. Malaysia,agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula pada 16 hingga 18 Oktober depan.

Acara julung kali itu dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung serta menyaksikan penyertaan lebih 300 usahawan tempatan dan antarabangsa,dengan nilai transaksi jualan diunjurkan mencecah RM300 juta.

Platform itu turut menawarkan sesi padanan perniagaan bersama syarikat utama ASEAN,sekali gus membuka peluang kepada usahawan untuk memeterai perjanjian eksport.

Acara itu juga akan dimeriahkan dengan pelbagai program sokongan termasuk bengkel Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA),forum Alam Sekitar,Sosial dan Tadbir Urus (ESG),sesi pocket talk mengenai bantuan eksport,perkongsian teknologi dan digitalisasi (Tech Spot),pembentangan dana eksport serta pelancaran produk baharu.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap