FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR,19 Ogos - Laman sesawang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi permohonan pengecualian bayaran balik pinjaman pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama,akan beroperasi semula pada 1 September ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi,Datuk Mustapha Sakmud memaklumkan laman sesawang khas tersebut ketika ini sedang dalam proses penyelenggaraan.
"Laman sesawang ini mula dibuka pada 1 September 2025. Maknanya,kepada yang berkenaan boleh buat permohonan semula. Skim ini telah dimulakan seawal tahun 2001 dan setakat ini jumlah keseluruhan pelajar yang mendapat manfaat sebanyak 133,159 dengan nilai RM2.9 bilion.
"Ini adalah insentif kepada mahasiswa yang mengambil PTPTN,iaitu akan dikecualikan bayaran pinjaman jika dapat kelas pertama dalam pengajian," jelas beliau.
Datuk Mustapha berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung hal tersebut.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan,peminjam PTPTN boleh memohon rundingan bayaran balik untuk penstrukturan semula pinjaman mereka.
Ini bagi membolehkan peminjam membuat bayaran mengikut kemampuan atau memohon penangguhan sementara sekiranya tidak mempunyai pendapatan atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.