Datuk Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR,19 Ogos - Instrumen subsidiari bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) sedang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan peraturan dan kod yang sedang dibangunkan MCMC turut memberi tumpuan kepada isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian dan pengurusan risiko dalam talian.
MCMC turut meneliti keperluan bagi penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan pelabelan kandungan yang dijana secara automatik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi kod tersebut.
"Inisiatif ini bertujuan membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang berpotensi mengelirukan,manipulatif atau tidak sahih,selaras dengan usaha mengurangkan risiko penyebaran maklumat tidak tepat atau kandungan memudaratkan di platform dalam talian.
"Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti penyedia perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian mereka,penyedia perkhidmatan hendaklah menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol,Datuk Shamshulkahar Mohd Deli yang mahu kementerian menyatakan mekanisme kawalan kepada teknologi AI yang berkembang terlalu pantas.
Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang berfungsi untuk menasihati dan memberikan syor kepada MCMC mengenai perkara-perkara berhubung dengan keselamatan dalam talian.
Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan dalam Talian akan diuruskan Menteri Undang-Undang dan keanggotaannya terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil daripada penyedia perkhidmatan berlesen.
Beliau turut memaklumkan MCMC telah memohon untuk menurunkan 439 kandungan di media sosial yang berunsur penipuan menggunakan teknologi deepfake sejak 1 Januari hingga 15 Ogos lalu.
Daripada jumlah itu,417 kandungan telah berjaya diturunkan; dengan majoriti kandungan disebarkan di Facebook.