Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),Datuk Seri Aminuddin Harun
PARLIMEN,14 Ogos – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR),Datuk Seri Aminuddin Harun bersama Backbenchers KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan,Datuk Seri Rafizi Ramli di Putrajaya,semalam.
Beliau menyifatkan serangan itu sebagai tindakan pengecut,cubaan mengugut seorang wakil rakyat dan ancaman serius terhadap keselamatan awam,lebih-lebih lagi apabila melibatkan kanak-kanak.
“Backbenchers KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan pengecut serangan ke atas anak Rafizi Ramli pada 13 Ogos 2025 di Putrajaya. Ia jelas bertujuan mengugut dan memberi amaran kepada seorang wakil rakyat yang lantang memperjuangkan kebenaran,” katanya di Parlimen hari ini.
Aminuddin turut menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan segala aset dan kepakaran bagi memburu pelaku serta dalang di sebalik kejadian itu.
“Keselamatan pemimpin rakyat dan seluruh warga negara harus sentiasa dijamin,ini bukan sekadar isu peribadi,tetapi melibatkan keselamatan awam dan kelangsungan demokrasi,” katanya.
Backbenchers KEADILAN turut menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,bahawa undang-undang mesti ditegakkan tanpa kompromi,serta gesaan Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution,agar siasatan dijalankan secara menyeluruh,cepat dan telus.