Foto FB KPDN
KUALA LUMPUR,12 Ogos - Orang ramai dialu-alukan memberi pandangan mengenai pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,Datuk Armizan Mohd Ali berkata,pendapat yang diutarakan menerusi Survei Pengukuhan Program Jualan Rahmah MADANI itu bertujuan menilai keberkesanan program,sekali gus menjadi asas kepada penambahbaikan PJRM tahun hadapan.
Langkah ini selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh pengurusan kos sara hidup rakyat.
"Tinjauan itu bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan rakyat bagi penambahbaikan pelaksanaan PJRM tahun depan.
"Fasa pertama tinjauan sedang dijalankan bermula 1 Ogos lalu hingga 15 Ogos ini melibatkan pengunjung PJRM,manakala mulai 15 Ogos hingga 16 September,akses kepada tinjauan tersebut akan dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia melalui pautan di laman sesawang dan semua akaun media sosial Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup," katanya semasa persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang,Wong Shu Qi mengenai strategi memastikan peruntukan tambahan sebanyak RM600 juta kepada PJRM sampai kepada kumpulan sasar.
Menurut Armizan,kementerian akan terus memperkasa PJRM dengan meningkatkan kekerapan pelaksanaan program,menambah jenis barangan serta mempelbagaikan model pelaksanaan.
Sehingga 31 Julai lalu,sebanyak 13,060 siri PJRM telah diadakan di seluruh negara,melibatkan RM15,626,464 transaksi jualan.