Penyelidik UMT temui spesies ikan baharu "Rogadius Azizahae"

2025-08-07    HaiPress

Ikan "Rogadius Azizahae" atau Baji Azizah (nama tempatan) ini bersaiz kecil antara 10 hingga 12 sentimeter/Foto BERNAMA

KUALA NERUS,6 Ogos - Satu spesies ikan baharu dari keluarga 'flathead' ditemui seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di perairan Laut China Selatan.


Penemuan tiga spesimen ikan itu dinamakan sebagai "Rogadius Azizahae" atau Baji Azizah (nama tempatan),bersaiz kecil antara 10 hingga 12 sentimeter.

Ia mendapat pengiktirafan dari Zootaxa,badan antarabangsa yang mengesahkan penamaan spesies baharu sebelum diterbitkan di ‘Journal of Fish Biology’ pada empat Ogos lalu.

Penyelidik dari Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur Ikan,UMT,Dr Tun Nurul Aimi Mat Jaafar,yang menemui spesies baharu itu berkata,ikan itu berbentuk leper,mempunyai corak halus gelap pada sirip pelvis serta putih lut sinar di bahagian tengah.


Menurut beliau,ketiga-tiga spesimen ikan tersebut ditemui pada 5 dan 30 Jun 2016 di luar pesisir pantai Terengganu dan Johor ketika Ekspedisi Saintifik Sumber Perikanan Demersal Zon Ekonomi Eksklusif Pantai Timur bersama Jabatan Perikanan pada kedalaman antara 53 hingga 58 meter di dasar laut.

"Bagi tujuan pengecaman,penyelidik mendapati bahawa ciri-ciri spesimen yang ditemui tidak sepadan dengan mana-mana spesies yang dikenal pasti sebelum ini. Justeru,pasukan penyelidik telah mendapatkan bantuan melalui kerjasama dengan beberapa universiti di Jepun.

"Hasil kolaborasi itu menyaksikan analisis perbandingan dijalankan terhadap spesies lain dalam genus yang sama,termasuk merujuk kepada holotaip sedia ada. Kajian terperinci mendapati tiada persamaan.

"Dengan berdasarkan bukti tersebut,spesimen berkenaan disahkan sebagai spesies baharu yang belum pernah direkodkan sebelum ini," katanya pada sidang media di Kampus UMT,di sini.


Nama saintifik Azizahae diabadikan pada ikan tersebut sebagai penghargaan kepada felo penyelidik utama UMT,Profesor Dr Siti Azizah Mohd Nor,yang banyak berjasa kepada bidang ekologi molekul dan pemuliharaan biodiversiti ikan negara.


Baji Azizah merupakan spesies ikan dasar laut yang sukar dikesan kerana tubuhnya berwarna perang menyerupai dasar laut.


Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap