Majlis Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kali ke-3 Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai.
PERMATANG PAUH,3 Julai - Ke arah mencapai status negeri maju,Pulau Pinang kini giat memperkasa golongan pekerja dengan meningkatkan ilmu kemahiran menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) untuk berdepan cabaran masa depan.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang,Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata,tenaga mahir akan menjadi keperluan utama dan kerajaan negeri sedang memberikan fokus dalam urusan pembangunan sumber manusia.
"Ini buktikan komitmen daripada kerajaan negeri Pulau Pinang dan juga syarikat iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam meningkatkan kemahiran teknikal kepada kakitangan terutamanya dalam bidang teknikal ini. Program seumpamanya ini akan diteruskan lagi setiap tahun dan bukan sahaja ditawarkan kepada PBAPP tetapi dibuka kepada operator-operator lain di seluruh negara",katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kali ke-3 Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP,Datuk Ir.K. Pathmanathan.
Seramai 141 kakitangan teknikal PBAPP menerima sijil SKM dalam jurusan perawatan air.
Program enam bulan ini menggabungkan aspek latihan teori dan praktikal di tempat kerja dan yuran ditanggung sepenuhnya oleh PBAPP.