Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (tengah) melancarkan Program Iftar Rahmah Madani di Masjid Al-Hidayah Sentul Pasar,Kuala Lumpur/Foto FB Menteri
KUALA LUMPUR,5 Mac- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melancarkan Program Iftar Rahmah Madani (IRM) Tahun 1446H/2025M di Masjid Al-Hidayah Sentul Pasar,Kuala Lumpur.
Program berkonsepkan "soup kitchen" yang berpusat di masjid dan surau terpilih,menyediakan juadah berbuka puasa secara percuma kepada masyarakat,khususnya golongan asnaf dan B40.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menekankan program tersebut bukan sekadar bantuan makanan,tetapi lambang kebersamaan dalam aspirasi Malaysia Madani.
"Ini adalah sebahagian daripada usaha kita,bahawa Islam mekar di bumi Malaysia ini dengan program-program kebajikan,program-program pendidikan,program-program ilmu dan sebagainya.
Saya harap pihak jawatankuasa masjid yang telah terpilih untuk mendapat peruntukan ini dapat memastikan tata kelola semua itu dibuat dengan baik. Hendaklah berlaku adil kepada penerima daripada sudut penyediaan makanan,selain menyediakan makanan itu dengan sebaik-baiknya," kata Datuk Dr. Mohd Na'im kepada pemberita,hari ini di Masjid Al-Hidayah Sentul Pasar,ibu negara.
Sebanyak 70 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,Putrajaya,dan Labuan terlibat dalam program ini,yang menyasarkan 21,000 penerima setiap hari,menjadikan 630,000 pek makanan diedarkan sepanjang Ramadan dengan peruntukan RM9.45 juta.
Pelaksanaan program itu bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup asnaf dan memastikan mereka dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna.
Dalam majlis tersebut,beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan JAWI Food Bank kepada 100 asnaf serta menyerahkan Cek Cura bernilai RM9.45 juta kepada wakil 70 masjid dan surau bagi menjayakan program ini sepanjang Ramadan.