Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dijangka dibentang minggu depan sebagai langkah memastikan kebebasan institusi Parlimen / Foto Hiasan
KUALA LUMPUR,21 Februari – Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dijangka dibentang minggu depan sebagai langkah memastikan kebebasan institusi Parlimen.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul berkata RUU itu selaras dengan usaha kerajaan untuk mengukuhkan prinsip pemisahan kuasa antara badan perundangan,eksekutif dan kehakiman.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri,ada keperluan untuk memastikan pemisahan kuasa benar-benar berlaku. Ini bermakna Parlimen harus memiliki perundangan sendiri,eksekutif di bawah PM,dan kehakiman dipimpin oleh Ketua Hakim Negara.
“Perdana Menteri mahu mengembalikan kebebasan ketiga-tiga entiti ini. Insya-Allah,kita mengharapkan semua Ahli Parlimen bersetuju untuk meneruskan RUU ini bagi memastikan pemisahan kuasa dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Dialog bersama Pelatih Program Latihan Khidmat Negara 3.0 Siri 1,di sini,hari ini.
Sebelum ini,kumpulan masyarakat sivil mencadangkan agar RUU Perkhidmatan Parlimen memberikan autonomi penuh kepada institusi Parlimen,termasuk dalam aspek pentadbiran dan kewangan.
Cadangan itu seiring dengan usaha Kerajaan MADANI dalam memperkasa Parlimen sebagai badan semak dan imbang yang bebas dan berkesan.