Barisan alumni yang hadir menjayakan sempena Hari Alumni yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor,UiTM Shah Alam / Foto UiTM
SHAH ALAM,19 Disember– Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraikan semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap alma mater menerusi Perhimpunan Alumni sempena Hari Alumni UiTM yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor di sini,hari ini.
Acara itu menjadi penutup simbolik kepada sambutan 25 tahun pengisytiharan UiTM sebagai sebuah universiti.
Perhimpunan berkenaan menghimpunkan alumni daripada pelbagai era,termasuk Dewan Latehan RIDA (DLR),Maktab MARA,dan Institut Teknologi MARA (ITM).
Ini bertujuan memperkukuh ikatan persaudaraan dalam kalangan alumni,serta memperingati sumbangan mereka terhadap pembangunan universiti dan negara.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi,Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman,menyeru alumni agar terus menyokong alma mater secara proaktif.
"Sinergi kukuh dan komitmen tinggi daripada alumni amat penting bagi memastikan sektor pendidikan tinggi terus mencapai kegemilangan.
"Alumni bukan sekadar lepasan universiti; tuan-tuan dan puan-puan adalah duta ilmu,pemimpin perubahan,dan penggerak agenda kemajuan negara,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu,Naib Canselor UiTM,Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin menekankan peranan penting alumni dalam memastikan UiTM terus relevan dan berjaya.
"Sumbangan kewangan,kepakaran,serta keprihatinan alumni UiTM pasti memberi impak mendalam kepada alma mater. Dengan semangat kebersamaan ini,kita akan memastikan masa depan generasi seterusnya terus terbela,” katanya.
Hari Alumni 2024 turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik,termasuk forum bertajuk “Alumni Penggerak Transformasi Negara”.
UiTM juga melancarkan dua buah buku khas terbitan Jabatan Jaringan Industri,Komuniti dan Alumni (ICAN UiTM),iaitu “Wajah Alumni Citra Bitara UiTM” dan “Cherita Alumni Dewan Latehan RIDA (DLR): Sharing Legacies”,bersempena dengan sambutan tersebut.