Pertandingan dan Pesta Batik Lestari, martabat karya batik tempatan di mata dunia

2024-12-06    HaiPress

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR,5 Disember - Penganjuran Pertandingan Reka Bentuk Batik Lestari dan Pesta Batik Lestari merupakan usaha mempromosi dan memartabatkan karya batik tempatan sebagai warisan negara ke peringkat global.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata program cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu telah berjaya dilaksanakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan kerjasama MyCreative Ventures Group.

“Ini adalah idea PMX (Anwar) yang memohon agar SC mengambil inisiatif mempromosikan batik kita sebagai satu warisan yang amat baik dan mereka telah buat (anjurkan)…satu usaha yang sungguh baik dan saya kagum kerana dapat mengumpulkan pengusaha batik paling 'top' yang kita ada,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Pesta Batik Lestari di sini hari ini.

Beliau berkata idea untuk menjadikan karya artisan sebagai sebahagian elemen sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 juga akan membantu mempromosikan industri kraf batik tempatan.

Pertandingan Reka Bentuk Batik Lestari bermula 16 Sept hingga 31 Okt lepas manakala Pesta Batik Lestari berlangsung hari ini dan esok.

Sementara itu,karya artisan batik Muhammad Nazri Mat Nasir,34,anak kelahiran Kota Bharu,Kelantan diumumkan sebagai pemenang utama bagi Pertandingan Reka Bentuk Batik Lestari.

Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000 dan trofi yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Turut hadir Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi,Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Group (MyCV) Zainariah Johar dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Muhammad Nazri berkata beliau tidak menyangka dipilih sebagai pemenang utama dan akan memberikan yang terbaik untuk karya sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun depan.

“Peluang ini juga menjadi ruang untuk saya perkenalkan karya batik tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Saya bersedia untuk menyediakan hasil karya bagi memenuhi permintaan pada Kepengerusian ASEAN memandangkan saya memang berkecimpung dalam perniagaan batik,” katanya yang berharap lebih ramai anak muda terlibat dalam menghasilkan batik tempatan. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap