Penyeludupan hidupan liar: Perketat prosedur pemeriksaan di lapangan terbang

2024-11-01    HaiPress

Gambar arkib BERNAMA

PUTRAJAYA,1 November - Pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlindungan haiwan liar termasuk memperketat prosedur pemeriksaan dan pemantauan di lapangan terbang.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata mesin pengimbas di pintu masuk negara perlu diselenggara secara berkala bagi memastikan mesin beroperasi dengan optimum.

"EAIC akan meneliti punca sebenar kelemahan dalam sistem pengawasan dan penguatkuasaan yang sedia ada dan mengesyorkan langkah proaktif yang perlu diambil untuk memperbaiki keadaan bagi memastikan integriti pegawai penguat kuasa dipelihara dan perlindungan spesies terancam dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media baru-baru ini mengenai pelbagai spesies 'kura-kura emas' kini menjadi dagangan komoditi haram berharga bagi penyeludup.

Sumber Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia mendedahkan berdasarkan risikan,sindiket menggunakan khidmat beberapa 'keldai upahan' bagi menyeludup masuk haiwan berkenaan menerusi penerbangan komersil dari luar negara.

Menurut jabatan itu kebiasaannya kura-kura terancam disembunyikan di dalam bagasi membabitkan bilangan besar namun agak pelik apabila suspek berjaya melepasi pemeriksaan mesin pengimbas sinar-X di lapangan terbang berdasarkan tangkapan yang dilakukan sebelum ini.

Ismail berkata EAIC memandang serius isu tersebut kerana ia menunjukkan kelemahan dalam sistem pengawasan dan penguatkuasaan sedia ada,yang boleh membawa kepada risiko ketirisan integriti oleh agensi penguatkuasaan dan pegawai.

"Kerjasama yang lebih erat antara agensi penguatkuasaan dan pihak berkaitan juga penting untuk meningkatkan kecekapan dalam menangani isu ini.

"Selain itu,kerjasama dengan agensi antarabangsa dan organisasi pemeliharaan perlu dipertingkatkan untuk bertukar maklumat dan strategi dalam membanteras jenayah penyeludupan haiwan terancam," katanya. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap