Kelayakan minimum perkhidmatan awam dinaikkan kepada SPM

2024-09-14    berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,14 September- Selari dengan perubahan dasar pendidikan negara dan akses pendidikan ke peringkat menengah atas,had kelayakan minimum bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam kini ditetapkan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berikutan itu,sebanyak 11 skim perkhidmatan dengan kelayakan masuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dinaik taraf kepada skim perkhidmatan berkelayakan SPM.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan,skim perkhidmatan terlibat ialah pengawas hutan dengan gred jawatan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan pembantu hidupan liar,masing-masing gred G11 dan G14.

Turut terlibat pemandu kenderaan,pemandu atau operator jentera pemunggah,pembantu awam serta operator loji,masing-masing melibatkan gred H11,H14,H16 dan H18,pengawal keselamatan (KP11,KP14,KP16 dan KP18),pembantu perawatan kesihatan (U11,U14,U16,U18) serta bentara Parlimen,penghantar notis dan pembantu operasi (N11,N14,N16,N18).

Menurut pekeliling itu,skim perkhidmatan pemandu kenderaan,pembantu awam,operator loji,bentara Parlimen,penghantar notis dan pembantu operasi digabungkan sebagai satu skim perkhidmatan baharu berkelayakan SPM iaitu pembantu khidmat am serta diklasifikasi Perkhidmatan Kemahiran (H).

Manakala,penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu khidmat am.

“Skim perkhidmatan pembantu perawatan kesihatan juga dinaik taraf ke skim perkhidmatan berkelayakan SPM dengan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan tersebut.

“Selain itu,skim perkhidmatan pengawal keselamatan dijumudkan dan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu keselamatan yang berkelayakan SPM,” menurut pekeliling disiarkan menerusi laman sesawang JPA semalam.

Pada masa sama skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan PT3 atau PMR juga akan dimansuhkan dan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan SPM.

Sementara itu,pekeliling itu turut memaklumkan sebanyak 26 skim perkhidmatan berkelayakan SPM diperluaskan kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) manakala 11 skim perkhidmatan berkelayakan diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia diperluaskan kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) serta Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).

Penetapan kelayakan TVET itu mengambil kira bidang-bidang bersesuaian dengan skop tugas dalam skim perkhidmatan berkaitan selain memberi peluang kepada calon berkemahiran menyertai perkhidmatan awam.

Untuk makluman lanjut,boleh layari https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap