Modul interaktif GamiKelas berjaya ke peringkat akhir anugerah AKRI 2024

2024-07-30    berita.rtm.gov.my HaiPress

Pembangunan GamiKelas yang diketuai oleh Abd. Hadi Abd. Razak merupakan satu pendekatan inovatif pengajaran dan pembelajaran teradun menggabungkan elemen gamifikasi bagi meningkatkan penglibatan pelajar

SINTOK,29 Julai – Inovasi pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) terpilih sebagai finalis bagi merebut Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024 menerusi modul pembelajaran inovatif,GamiKelas.


Pembangunan GamiKelas yang diketuai oleh Abd. Hadi Abd. Razak merupakan satu pendekatan inovatif pengajaran dan pembelajaran teradun menggabungkan elemen gamifikasi bagi meningkatkan penglibatan pelajar.


“Projek ini mula dilaksanakan pada semester kedua sesi 2021/2022 melalui platform pengajaran dan pembelajaran UUM iaitu Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS) Pembelajaran Dalam Talian UUM atau UUM-OL bagi mahasiswa yang mengambil kursus Asas Sistem Multimedia di SMMTC.


“Modul tersebut direka bentuk bagi membantu mahasiswa mencapai hasil pembelajaran kursus pertama (CLO1) subjek tersebut. Berdasarkan pelaksanaan GamiKelas,kami dapati pelajar lebih mudah mengikuti pembelajaran dan memperlihatkan tahap motivasi yang tinggi. Ini dikesan berdasarkan penglibatan aktif mahasiswa yang dipengaruhi konsep pembelajaran dan pengajaran interaktif,” jelas Abd. Hadi.


Beliau akan mewakili UUM untuk sesi pembentangan peringkat akhir mengenai projek atau inisiatif GamiKelas di Putrajaya pada 17 Ogos ini bagi merebut salah satu kategori anugerah AKRI yang dipertandingkan.


Anugerah ini diperkenalkan pada 2017 sebagai acara tahunan yang dikenali sebagai Anugerah Pemikiran dan Reka Bentuk Semula Pendidikan Tinggi Malaysia (APRS) sebelum dijenamakan sebagai AKRI pada 2018.


Acara berprestij ini menjadi platform perkongsian amalan terbaik dan reka bentuk semula pendidikan tinggi negara selain bermatlamat mengenal pasti dan mengiktiraf inisiatif berkaitan inovasi pembelajaran dan pengajaran di peringkat pendidikan tinggi negara.


Terdapat 4 kategori anugerah utama AKRI iaitu Kurikulum Program Pengajian Inovatif,Pengajaran Transformatif,Pentaksiran Alternatif dan Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya,Teradun atau Bersemuka.


Mengulas lanjut,Abd. Hadi berkata,pelaksanaan pertama GamiKelas melibatkan 30 mahasiswa yang menggunakan kerangka kerja Mechanics-Dynamics-Aesthetics (MDA) bagi menghasilkan pengalaman pembelajaran lebih imersif.


“GamiKelas dibuat secara teradun iaitu menggabungkan kelas bersemuka dan aktiviti dalam talian menerusi platform UUM-OL. Elemen yang digunakan adalah estetik permainan,misi dan cabaran,papan pendahulu serta lencana pencapaian. Kami dapati elemen yang digunakan memberi motivasi kepada mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti kelas dengan lebih aktif selain pelajar dapat bersaing secara positif. Paling utama,pelajar melibatkan diri secara sukarela dalam kelas teradun ini. Ia memberi impak positif kepada pelajar dari segi kemahiran,sikap pelajar dan pengalaman pembelajaran,” kata beliau lagi.


Menurut Dekan SMMTC,Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad,pencalonan GamiKelas ini membuktikan komitmen SMMTC dan UUM untuk terus menghasilkan modul-modul pengajaran dan pembelajaran interaktif yang inovatif.


“Ia bukan sahaja satu pencapaian membanggakan kepada pusat pengajian,tetapi pelaksanaan GamiKelas telah terbukti dari segi keberkesanan modul apabila membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar,meningkatkan penglibatan mereka dalam aktiviti bilik kuliah dan pencapaian hasil pembelajaran kursus yang lebih tinggi berbanding semester sebelumnya,” jelas Dr. Mohd Khairie.


GamiKelas mempunyai potensi untuk diperluaskan kepada subjek-subjek lain dan mungkin boleh diterapkan di institusi pengajian tinggi lain di seluruh negara sebagai salah satu modul pengajaran dan pembelajaran teradun.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap