TPM mahu transformasikan pelajar tahfiz

2024-07-14    berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto BERNAMA

SERDANG,14 Julai- Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan hasratnya untuk lebih memberi penekanan terhadap keseimbangan kepakaran ilmu dunia dan akhirat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berazam untuk melakukan transformasi dalam kalangan pelajar tahfiz di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) supaya turut menjadi pakar dalam bidang profesional termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Ini kita telah mulakan umpamanya terdapat 17 maahad tahfiz,di mana kerjasama dengan majlis TVET.

"..Anak-anak ini telah dimasukkan ke Universiti Kuala Lumpur yang juga telah diletakkan di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) melalui MARA dan terdapat huffaz ini yang kini telah melalui kursus TVET dalam bidang penerbangan..17 daripada mereka telah menjadi jurutera di dalam bidang penerbangan," katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF),Anugerah Masjid Contoh (AMC) dan Anugerah Tokoh Imam FELDA (ATIF) sempena Hari Peneroka FELDA di sini.

Tambah Ahmad Zahid,beliau juga bakal memberi tumpuan terhadap mewujudkan program Pra Tahfiz dengan penglibatan Tabika KEMAS di bawah seliaan FELDA.

Sementara itu,Ahmad Zahid berkata pihak bertanggungjawab perlu bekerjasama dalam memperkukuh dan komited dalam pelaksanaan transformasi FELDA.

Beliau berkata,usaha itu penting selaras dengan objektif penubuhan FELDA.

"Komitmen yang amat berhormat Perdana Menteri dengan serius melihat soal-soal yang dihadapi sekarang ini adalah merupakan satu transformasi secara senyap pada peringkat awalnya.

"..Perkara-perkara ini akan lebih mudah dilakukan apabila ada kerjasama di antara pihak pengurusan tertinggi,pegawai-pegawai,dan di antara pengurus-pengurus di peringkat rancangan," katanya.

Dalam pada itu,Ahmad Zahid memaklumkan bahawa penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Hari Peneroka FELDA akan digabungkan tahun depan.

"Ditambah dengan dukungan daripada FELDA,daripada peneroka generasi pertama hingga ke generasi kelima..insya-Allah target kita,matlamat kita,insyaallah Hari Peneroka FELDA tahun hadapan kita berhasrat untuk mendapat dua juta pengunjung pada hari itu," kata Ahmad Zahid.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap