NCIA jalin kerjasama pintar dengan enam syarikat swasta, suntik pelaburan RM525.3 juta

2020-07-23    NCIA

GEORGE TOWN, 23 Julai -- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menjalin kerjasama pintar dengan enam syarikat swasta yang beroperasi di Pulau Pinang dengan potensi suntikan pelaburan berjumlah RM525.3 juta.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerjasama yang dijalinkan menerusi program modal insan EmpowerNCER Fasa Kedua itu bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini terutamanya dalam menghadapi tempoh pasca COVID-19.


Enam syarikat tersebut ialah PTS Industries Sdn Bhd, Clarivate Analytics Malaysia Sdn Bhd, Iconic Penang Sdn Bhd, Osram Opto Semiconductors Sdn Bhd, UWHM Sdn Bhd dan Coraza Systems Malaysia Sdn Bhd.


44.jpg

Beliau berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha NCIA dalam memperluaskan program EmpowerNCER supaya usahawan kecil dan pekerja yang kehilangan pekerjaan daripada golongan B40 dapat menyertai program tersebut, selain golongan belia dan wanita.


"Hari ini kita menyaksikan enam syarikat yang komited untuk melabur di Pulau Pinang melalui pemudahcara NCIA dengan lain-lain agensi negeri dan persekutuan. Sempena itu kita melakukan pelantikan empat pegawai daerah dalam program EmpowerNCER Fasa Kedua di mana daerah Seberang Perai Tengah (SPT) sudah pun kita lantik pada akhir tahun lepas dan sudah memulakan program ini.


"Empat pegawai daerah yang menerima surat lantikan hari ini akan memulakan program di daerah masing-masing. Program ini adalah program di bawah NCIA," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program EmpowerNCER @ Pulau Pinang Fasa Kedua, di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Eksekutif NCIA Datuk Seri Jebasingam Issace John, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Razak Jaafar dan wakil daripada jabatan dan agensi negeri.


Program EmpowerNCER menawarkan latihan kemahiran dan keusahawanan bertujuan memperkasakan tahap sosioekonomi masyarakat setempat serta meningkatkan pendapatan melalui peluang pekerjaan atau memulakan perniagaan mikro.


-- BERNAMA


Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap