Antara jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dalam pembinaan / Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR,11 September- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berdepan risiko kelewatan sekiranya insiden kecurian kabel dan komponen bernilai tinggi terus berulang di sepanjang jajaran pembinaannya.
China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) dalam kenyataan mengecam kejadian terbaharu membabitkan kecurian kabel penghubung di laluan antara Temerloh hingga Bentong.
Insiden berkenaan menjejaskan infrastruktur rel serta berpotensi melambatkan jadual penyiapan projek.
"Sejak Jun lalu,beberapa siri kecurian kabel dan transformer dikesan. Dalam tempoh dua minggu sahaja,sebanyak 1,080 meter kabel di jajaran Temerloh–Lanchang serta 599 meter di Lanchang–Bentong dilaporkan hilang.
Selain menambah kos pembaikan,kecurian ini turut menjejaskan perkembangan keseluruhan projek kerana komponen gantian yang ditempah khas memerlukan masa berbulan-bulan untuk diperoleh,” jelas CCCECRL.
Syarikat itu memaklumkan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Lanchang dan pihaknya kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi siasatan lanjut.
Memandangkan jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer,CCCECRL turut menyeru sokongan masyarakat setempat dalam melindungi projek nasional berkenaan.
Ia termasuk melaporkan aktiviti mencurigakan serta tidak membeli kabel atau komponen yang disyaki milik projek.
Projek ECRL dijangka memainkan peranan penting dalam menjana manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang kepada Wilayah Pantai Timur dan negara.