Datuk Johan Mahmood Merican pada Taklimat SARA di Putrajaya.
PUTRAJAYA,2 September - Kementerian Kewangan (MOF) memberi jaminan kapasiti transaksi sistem MyKasih akan ditingkatkan,bagi mengatasi isu kelewatan dan kegagalan transaksi yang dialami penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebelum ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,Datuk Johan Mahmood Merican berkata,peningkatan kapasiti diperlukan bagi menguruskan lonjakan jumlah transaksi terutama menjelang cuti panjang minggu ini serta cuti Hari Malaysia.
“Isunya adalah di peringkat sistem atau kapasiti server di Yayasan MyKasih yang tidak dapat menampung permintaan memuncak pada hari pertama. Namun,saya ingin tegaskan sistem tidak jatuh (crash). Ia masih berfungsi dan berjaya memproses hampir sejuta transaksi setiap hari,cuma berlaku kelewatan dan time-out di terminal tertentu,” katanya pada Taklimat SARA di sini,hari ini.
Turut hadir,Timbalan Pengerusi Tanggungjawab Sosial Korporat DIALOG (MyKasih),Jeffrey Gerard Perera.
Menurut Datuk Johan,lonjakan luar biasa berlaku apabila penerima menebus kredit RM100 secara serentak pada cuti umum Hari Kebangsaan dan hujung minggu panjang,selain kemasukan kredit bulanan SARA untuk 5.4 juta penerima B40 pada 1 September.
“Sebelum ini,sistem menampung puncak 540 transaksi seminit. Namun pada 31 Ogos,ia melonjak lebih 2,000 transaksi seminit iaitu empat kali ganda kapasiti sebelum ini,” jelasnya.
Beliau menegaskan,kapasiti sistem telah dinaikkan 20 peratus pada hari kedua,membolehkan lebih banyak transaksi diproses lancar tanpa gangguan besar. Peningkatan itu akan diteruskan secara berperingkat sehingga mampu memproses 15,000 transaksi seminit.
“Kami sedang tingkatkan kapasiti setiap hari. Dari 5,000 transaksi seminit,kini kami menuju 15,000 transaksi seminit. Inisiatif ini bukan sahaja penting untuk SARA,tetapi juga persediaan masa depan untuk program bantuan digital lain,” katanya.
Dalam pada itu,beliau menasihati orang ramai agar tidak berpusu-pusu menebus bantuan kerana kredit RM100 boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 di lebih 7,000 kedai seluruh negara melibatkan lebih 90,000 barangan asas.