Foto JBPM Perlis
KANGAR,12 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis menerima 304 panggilan kecemasan melibatkan pelbagai kes kebakaran dari 1 Januari hingga 10 Ogos tahun ini.
Pengarah JBPM Perlis,Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata,daripada jumlah itu,195 kes adalah kebakaran terbuka melibatkan belukar atau lalang di seluruh negeri.
Beliau memaklumkan,kes lain yang turut dikendalikan melibatkan kebakaran bangunan,kenderaan,peralatan,hutan,sampah sarap dan pelbagai kebakaran lain.
Sepanjang 2024,sebanyak 773 kes kebakaran dilaporkan di Perlis dan berdasarkan statistik semasa,jumlah itu menunjukkan penurunan.
“JBPM Perlis mempunyai kekuatan seramai 251 pegawai dan anggota yang mampu digerakkan dari lima Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau,JBPM Perlis turut dilengkapi lima jentera operasi,lima jentera siapsiaga,dua unit Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan tiga Rapid Intervention Motorcycle Team (RIM) yang beroperasi di Balai Bomba dan Penyelamat Kangar.
Bagi melaksanakan tugas kecemasan di peringkat komuniti,sebanyak 20 Pasukan Bomba Komuniti diwujudkan di seluruh Perlis dengan keanggotaan lebih 600 penduduk pelbagai peringkat usia.