Johari Ghani ketuai misi ekonomi ke Kenya

2025-05-06    HaiPress

Menteri Perladangan dan Komoditi,Datuk Seri Johari Abdul Ghani / BERNAMA

KUALA LUMPUR,6 Mei– Menteri Perladangan dan Komoditi,Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai delegasi dalam misi ekonomi dan teknikal rasmi ke Kenya bermula hari ini hingga 8 Mei.

Menurut kenyataan Kementerian Perladangan dan Komoditi,lawatan berkenaan menzahirkan komitmen Malaysia memperkukuh hubungan dagangan dan pelaburan dengan negara Afrika,khususnya dalam sektor komoditi dan perladangan.

Johari dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri Kenya bagi memperluas kerjasama dalam sektor minyak sawit serta meneroka peluang bagi menyumbang kepada ekosistem minyak sawit global.

Beliau turut menghadiri dialog meja bulat bersama pemain industri tempatan bagi mengenal pasti bidang kerjasama strategik,memperkukuh jaringan perdagangan dan mempromosi minyak sawit Malaysia.

Delegasi turut dijadual melawat beberapa kemudahan perindustrian terpilih untuk menilai landskap pengeluaran Kenya dan peluang kerjasama masa depan.

Kenya diiktiraf sebagai rakan strategik dan pintu masuk ke pasaran Komuniti Afrika Timur (EAC) yang merangkumi tujuh negara dengan populasi lebih 330 juta penduduk.

EAC menyediakan platform ekonomi utama di Sub-Sahara Afrika,menawarkan potensi besar bagi pengembangan pasaran.

Kesatuan Kastam EAC yang ditubuhkan pada 2005 membolehkan produk yang memasuki mana-mana negara anggota diedarkan tanpa tarif tambahan ke seluruh rantau,sekali gus membuka peluang eksport lebih luas kepada Malaysia.

Kenya kini merupakan pengimport terbesar minyak sawit Malaysia di Sub-Sahara Afrika,menyumbang 42 peratus daripada eksport pada 2024 dengan pegangan pasaran 85 peratus.

Selain itu,Kenya memainkan peranan penting dalam dasar perdagangan serantau sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara EAC dan Majlis Menteri-Menteri EAC.

Kementerian menyifatkan misi ini sebagai peluang strategik untuk memperkukuh kerjasama dua hala dan mengembangkan jejak Malaysia di Afrika Timur,sekali gus menegaskan komitmen Malaysia terhadap perdagangan bertanggungjawab dan mampan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.

Terbaru

Pautan mesra

Back to top
© Hak cipta 2009-2020 Rumah Melayu      Hubungi kami   SiteMap