Foto hiasan
KUALA LUMPUR,17 Disember- Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan unjuran stabil.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan penarafan itu disokong momentum pertumbuhan yang kukuh dan meluas; kedudukan politik stabil; lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing teguh dan penurunan defisit fiskal.
Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata,pengekalan penarafan kredit berdaulat itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia.
"...seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI,khususnya komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar yang lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan," katanya.
Agensi penarafan antarabangsa itu menyatakan bahawa kepastian dasar dalam negara bertambah baik dipacu kestabilan kerajaan dengan pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi,termasuk pengukuhan tadbir urus entiti milik kerajaan serta perundangan,antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
"Perkara ini adalah selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menyatakan bahawa pelaksanaan agenda pembaharuan oleh Kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan
pertumbuhan inklusif.
"Ekonomi Malaysia bekembang dengan kukuh pada 5.3 peratus,bagi suku ketiga 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar yang bertambah baik," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi teguh pada 2024,yang telah disemak semula lebih tinggi dalam lingkungan 4.8 peratus dan 5.3 peratus,daripada anggaran awal antara empat peratus dan lima peratus.
"Kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal,merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025," tambah kenyataan itu.
Sementara itu Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi,dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025.
Dalam pada itu kerajaan juga komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil,penggunaan sumber secara optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi,khususnya RON95.
"Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI untuk mentransformasikan ekonomi,meningkatkan nilai rantaian,menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara," menurut kenyataan itu.