Foto Media Istana Arau
KANGAR,21 November - Penubuhan Kelab Junior AI Robotic Education (AiRED) melibatkan 10 buah sekolah rendah sebagai perintis adalah inisiatif penting yang memperkenalkan bidang kecerdasan buatan (AI) dan robotik kepada pelajar sekolah rendah di Perlis.
Kelab itu secara tidak langsung dapat membuka peluang sangat berharga untuk anak-anak ini dapat bersedia dalam menempuh dunia yang semakin mencabar dan teknologi yang semakin maju.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,manakala Program Transformasi Intelek Pelajar SPM (TRIPs) pula mampu membantu pelajar-pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam persediaan menghadapi peperiksaan utama tidak lama lagi dan mampu merubah pemikiran pelajar yang kurang yakin untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam Mata Pelajaran STEM A dan Mata Pelajaran Teras yang kritikal.
"Sekiranya dilihat secara keseluruhan inovasi hanya akan tercapai jika individu itu mempunyai kefahaman mendalam dalam subjek STEM,justeru kedua-dua program Junior AiRED dan TRIPs SPM tersebut adalah dua komponen yang sangat berkait rapat dalam memperoleh kecemerlangan dalam membina generasi muda Perlis yang kreatif,inovatif,dan berdaya saing," titah baginda.
Baginda bertitah ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Kelab Junior AiRED dan Majlis Penutupan Program Transformasi Intelek Pelajar Perlis (TRIPs) SPM 2024’ di Hotel Seri Malaysia,di sini.
Program dianjurkan FCoEE dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melibatkan seramai 20 guru dan 100 pelajar bagi program Junior AiRED manakan 25 guru dan 509 pelajar bagi Program TRIPs SPM 2024.
Penubuhan Junior AiRED merupakan simbol harapan generasi muda untuk menerajui bidang AI dan robotik,manakala inisiatif TRIPs SPM 2024 merupakan komitmen dan usaha dalam meningkatkan terhadap kecemerlangan akademik para pelajar di Perlis.