Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama
KUALA LUMPUR,5 Ogos – Malaysia berharap satu penyelesaian muktamad dapat dicapai dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja selewat-lewatnya Khamis ini,7 Ogos.
Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini bertindak sebagai tuan rumah dalam menyelaras pertemuan antara ketua-ketua ketenteraan dari kedua-dua negara yang terlibat di kawasan sempadan.
Menurut beliau,pertemuan yang berlangsung di Kuala Lumpur itu memberi tumpuan kepada usaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu pelanggaran peraturan dan pertikaian kawasan sempadan.
“Hari ini,khususnya ketua-ketua ketenteraan yang terlibat di kawasan sempadan berada di Kuala Lumpur dan diselaraskan oleh kerajaan Malaysia. Kita mengharapkan beberapa titik pertemuan dapat dimenterai selewat-lewatnya pada 7 Ogos,sempena kehadiran Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja bagi mencapai kesepakatan.
"Mudah-mudahan akan ada penyelesaian muktamad,atau sekurang-kurangnya meneruskan gencatan senjata dan memastikan tiada lagi pelanggaran peraturan di kawasan sempadan yang dipertikai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodiyah Sapiee (Batang Sadong) dalam sesi sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Tambah Perdana Menteri,rundingan tersebut penting bukan sahaja untuk mencapai penyelesaian segera,tetapi juga bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan ketenteraan antara Thailand dan Kemboja.
Dalam pada itu,beliau turut merakamkan penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) atas komitmen dan peranan strategik dalam menyelaras rundingan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan,Perdana Menteri turut memaklumkan beberapa langkah awal telah diambil untuk memperkukuh proses damai,termasuk berhubung dengan semua pemimpin ASEAN,termasuk Sultan Brunei,bagi mendapatkan mandat dan dukungan terhadap inisiatif tersebut.
“Saya telah menghubungi semua Perdana Menteri,Presiden dan Yang Mulia Sultan Brunei untuk mendapatkan mandat serta sokongan. Kesemua mereka bersetuju dan telah memutuskan agar atase pertahanan masing-masing terus memantau perkembangan ini,” katanya.
Menurutnya lagi,wakil daripada kuasa luar seperti Amerika Syarikat dan China juga akan hadir,namun hanya sebagai pemerhati,dengan persetujuan dan ketelusan bersama semua negara anggota ASEAN.
“Dalam mesyuarat di Kuala Lumpur,atase pertahanan Malaysia diselaraskan bersama atase pertahanan ASEAN. Amerika Syarikat dan China akan hadir sebagai pemerhati sahaja. Ini merupakan inisiatif Malaysia yang mendapat sokongan ASEAN,” jelas beliau.